Sunday, April 17, 2011

Tugasan ketiga

Ulasan Mengenai Kelas Pengantar Penulisan (SBLM 1023)

Pada pendapat saya, kelas Pengantar Penulisan SBLM 1023 yang diajar oleh Encik Nasrol Hadi b. Ahmad Shukeri  banyak memberikan ilmu yang berguna kepada saya. Ini adalah kerana melalui kelas tersebut saya dapat meningkatkan lagi tahap penggunaan Bahasa Melayu saya. Seterusnya, di dalam kelas ini saya juga telah mempelajari banyak aspek-aspek bahasa yang selama ini tidak saya ketahui akan kewujudannya. Segala latihan yang diberikan oleh Encik Nasrol kepada saya amat membantu saya dalam meningkatkan lagi mutu Bahasa Melayu saya yang selama ini semakin pudar akibat penggunaan Bahasa Inggeris yang terlalu banyak dalam bidang akademik. 

Selain itu, melalui kelas Pengantar Penulisan ini juga saya dapat berkenalan dengan pelajar-pelajar dari jurusan lain selain daripada jurusan undang-undang. Pengalaman belajar bersama mereka amat bermakna bagi saya. Ini kerana mereka lebih mahir dalam penggunaan Bahasa Melayu berbanding kami pelajar jurusan undang-undang yang hanya lebih menumpukan penggunaan Bahasa Inggeris sehingga menyebabkan tahap Bahasa Melayu kami semakin menurun. Malah, minat untuk mempelajari serta meningkatkan mutu Bahasa Melayu dalam diri saya semakin membara apabila pensyarah yang mengajar di dalam kelas ini  tidak terlalu tegas dan mesra pelajar. Ini kerana Encik Nasrol tidak seperti pensyarah-pensyarah lain yang terlalu tegas terhadap tugasan yang diberikan oleh mereka kepada para pelajarnya. Bagi saya, Encik Nasrol tidak pernah memarahi kami sekiranya kami menghantar lewat tugasan kami. Beliau hanya akan mengingatkan kami untuk menghantar tugasan sekiranya kami masih belum manghantar tugas yang diamanahkan oleh beliau. Sikap beliau yang sebeginilah menyebabkan saya lebih berminat untuk belajar di dalam kelas tersebut kerana tiada sebarang tekanan belajar yang dihadapi sepanjang proses pembelajaran saya di sini. 

Keseluruhannya, kelas Pengantar Penulisan yang diajar oleh Encik Nasrol ini banyak memberikan input yang berguna kepada saya. Pada pendapat saya, kelas ini seharusnya dijadikan salah satu subjek wajib bagi   pelajar undang-undang kerana walaupun mereka mahir dalam penggunaan Bahasa Ingeris namun, tahap penggunaan Bahasa Melayu mereka semakin merosot. Oleh itu, diharap dengan adanya kelas sebegini dapat membantu para pelajar memartabatkan lagi bahasa kebangsaan meraka itu sendiri.