Sunday, February 20, 2011

Tugasan Pertama

1) Apakah kepentingan memahami peraturan bahasa dalam penulisan?
    
   Peraturan bahasa dalam penulisan ialah merupakan satu peraturan yang perlu dipatuhi serta difahami oleh setiap penulis dalam menghasilkan sesuatu karya. Ini kerana peraturan bahasa ini penting bagi menjaga identiti sesuatu bahasa. Oleh itu, memahami peraturan bahasa dalam penulisan merupakan sesuatu perkara yang penting serta perlu dititik beratkan bukan sahaja bagi diri penulis itu sendiri bahkan juga diri para pembaca. Ini kerana pemahaman peraturan bahasa seperti penggunaan bentuk kata, rangkai kata serta penggunaan tanda baca ini penting sebelum menghasilkan sesuatu karya penulisan. Namun begitu, sekiranya seseorang penulis itu kurang mengambil berat terhadap aspek peraturan bahasa ini dia akan dipandang negatif oleh para pembaca. Sebagai contoh, penggunaan ejaan yang betul merupakan salah satu unsur yang terdapat dalam peraturan bahasa. Oleh itu, sekiranya penulis mengambil sikap sambil lewa terhadap penggunaan unsur peraturan berbahasa ini akan menyebabkan dia dipandang negatif oleh para pembaca. Ini disebabkan kerana para pembaca pada masa kini amat peka terhadap penggunaan peraturan bahasa yang digunakan oleh penulis dan adakalanya pengetahuan mereka terhadap peraturan bahasa itu sendiri lebih luas daripada pengetahuan penulis.

   Gambar di bawah ini merupakan salah satu kesilapan yang dilakukan oleh salah sebuah akhbar tempatan yang terkenal di negara kita. Secara rasionalnya kesalahan seperti ini tidak seharusnya terjadi kerana sebagai salah sebuah akhbar yang terkenal ia akan mengundang pandangan negatif oleh para membaca terhadap syarikat penerbitan akhbar terbabit beserta penulisnya.



   Sebagai kesimpulan, memahami peraturan bahasa merupakan sesuatu perkara yang amat penting kerana  dengan memahami peraturan penggunaan bahasa tersebut kita dapat menjaga identiti bahasa ibunda kita sendiri daripada tercemar dengan unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan bahasa itu sendiri.



2) Perlukah kesemua genre penulisan mematuhi peraturan berbahasa?

   Genre penulisan atau aliran penulisan ini boleh dianggap sebagai teknologi penulisan. Ini disebabkan kerana perubahan masa, nilai-nilai dan tuntutan mempengaruhi teknologi penulisan ini sehingga membawa kepada perubahan. Dalam kesusteraan Melayu terdapat pelbagai genre penulisan dan antaranya ialah cerpen, puisi, syair, novel dan sebagainya.  

  Pada pendapat saya, kesemua genre penulisan dalam kesusteraan Melayu perlulah mematuhi peraturan berbahasa. Ini disebabkan kerana bahasa merupakan lambang identiti sesebuah bangsa. Oleh yang demikian, sekiranya kesemua genre penulisan ini tidak mematuhi peraturan berbahasa maka tidak mustahil suatu hari nanti generasi akan datang akan melupakan bahasa ibunda mereka itu sendiri akibat daripada kesan penggunaan bahasa yang salah. 
   
    Selain itu, sekiranya kesemua genre penulisan mematuhi peraturan berbahasa  saya yakin ianya akan membantu memartabatkan lagi bahasa ibunda kita dan tidak mustahil akan memperkenalkan lagi bahasa kita sehingga menjadi satu bahasa terkemuka di seantero dunia seperti suatu ketika dahulu. Oleh itu, saya ingin tegaskan di dini bahawasanya kesemua genre penulisan perlulah mematuhi peraturan berbahasa bagi menjaga identiti serta memartabatkan lagi bahasa itu sendiri.



3) Adakah bahan-bahan penulisan kini mematuhi peraturan berbahasa?


   Pada pendapat saya, bahan-bahan penulisan kini kurang mematuhi peraturan berbahasa. Ini disebabkan kerana, bahan-bahan penulisan kini ditulis oleh penulis semata-mata mahu menarik perhatian para pembaca untuk membaca karya mereka. Oleh yang demikian, penulis hanya memfokuskan untuk menghasilkan sesuatu karya yang boleh menarik minat pembaca tanpa menghiraukan sama ada mereka mematuhi peraturan berbahasa ataupun tidak. Sebagai contoh untuk menarik minat pembaca untuk membeli serta membaca novel mereka, kebanyakkan penulis novel pada masa kini menggunakan bahasa pasar atau 'bahasa rojak' dalam penulisan mereka. Walaupun novel tersebut mendapat sambutan hangat daripada para pembaca, namun kelemahan jelas terpancar di situ apabila mereka mengetepikan aspek peraturan berbahasa dalam karya mereka.

  Kesimpulannya, bahan-bahan penulisan pada masa kini kurang mematuhi peraturan berbahasa kerana para penulis pada masa kini lebih gemar mengutamakan keuntungan terhadap hasil jualan karya mereka semata-mata sehingga mereka menjadi kurang peka untuk mematuhi peraturan berbahasa dalam karya mereka.